Khamis, 8 Mac 2012

Keseronokan Dunia dan Leka Punca Manusia Lalai Mengingati Mati

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap manusia akan mati samaada orang tua, dewasa, orang muda atau kanak-kanak  . Kematian seorang manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT dan telah tertulis di Loh Mahfuz dan semasa dalam kandungan seorang ibu ajak maut seseorang telah pun ditetapkan.

Inilah saat dinanti-nantikan setiap manusia, tidak kira agama apa yang dianuti, pastinya mati akan datang menjemput kita. Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, kita mempercayai kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati wajib dilalui semua manusia.

Bagaimana sihat seseorang, kuasa dan kekayaan, manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah, Nabi dan Rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan Tuhan, bahkan yang menjadi kekasih Allah pun tidak dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di Padang Mahsyar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Di mana saja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 78)

Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri kerana jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur dan roh keluar dari badan manusia.

Kubur atau alam barzakh adalah tempat permulaan alam akhirat. Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran seksaan kubur di alam barzakh.

Sebaik saja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengebumikan dan berjalan pulang, maka suasana gelap, dua malaikat Munkar dan Nakir datang menghampiri serta mendudukkan jenazah. Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketakwaan unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah, alam barzakh adalah episod ngeri hingga datangnya hari kiamat.

Mereka berkeadaan seperti orang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan. Ingatlah wahai sekalian umat Islam bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang yang bercakap mengenai kematian, alam barzakh dan Mahsyar kerana sibuk dengan kelazatan kehidupan dunia.

Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrail datang mencabut nyawa.

Saidina Ali pernah berkata: “Manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga daripada tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak.”

Kesibukan mencari keseronokan dunia adalah penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Contohnya, penagih dadah sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan terlarang bagi menambah lagi nikmat keseronokan.

Perbuatan ini seolah-olah menggali lubang kubur sendiri. Mereka ini akan menanggung seksaan hidup dengan penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian.

Berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ada ajaran sesat tidak menerima hakikat kematian pemimpinnya. Mereka sering mendakwa keajaiban pemimpin yang kadangkala lebih hebat daripada Rasulullah SAW dan Khulafa al-Rasyidin.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)

Menghadapi kematian pemimpin yang disayangi sememangnya perit dan sukar diterima. Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar ketika berdepan kewafatan Nabi SAW. Beliau memujuk Umar al-Khattab yang masih terkejut seraya berkata: “Ketahuilah, sesiapa yang menyembah Muhammad , maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan mati.”

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita membuat persiapan sebelum saat kematiaan datang menjemput kita. Ketika saat itu datang sedangkan kita masih terleka dengan keseronokan dunia dan masih tidak menyediakan bekalan yang cukup untuk satu perjalanan yang jauh maka kitalah yang akan rugi dan menyesal. Ketika berada di alam barzakh ketika itu tidak berguna lagi peneyesalan dan tidak ada taubat lagi ketika itu, apa yang berguna adalah amal soleh yang kita kerjakan semasa di dunia. Oleh itu perbanyakkanlah amal ibadah, amal soleh, amal kebajikan dan sedekahlah sebanyak yang mampu kerena sedekah yang ikhlas akan meringankan azab di alam barzakh dan hari akhirat.

Sedekah jariah yang berterusan akan mendapat perlindungan Arasy di Padang Mahsyar dan membatu ketika timbangan amal (Mizan) , terdapat pintu khusus di syurga untuk mereka yang banyak bersedekah ketika di dunia. Mereka yang banyak bersedekah dengan rahmat Allah SWT akan diizinkan masuk kepintu tersebut dengan hati yang tenang dan gembira.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan